PN KERAJAAN SAH: MENEPATI PRINSIP RAJA BERPERLEMBAGAAN

Maka terungkailah sudah hari ini segala persepsi politik yang dibina oleh segelintir kumpulan politik yang kecewa. Sebelum sidang sehari parlimen hari ini, saban hari kumpulan ini menuduh dan melabelkan kerajaan yang memerintah dibawah ikatan baru, Perikatan Nasional hari ini sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘kerajaan tebuk atap’.
Yang Di Pertuan Agong dalam titah diraja baginda di Parlimen telah berulang kali menyebut perkataan ‘Kerajaan Beta’. Itu sudah cukup memberi satu menefestasi dan penegasan bahawasanya Tuanku mengiktiraf kedudukan Perikatan Nasional sebagai parti memerintah kerajaan Malaysia.
Mengimbau kembali rentetan peristiwa yang menjadi titik terbinanya kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional untuk difahami oleh rakyat supaya tidak tersilap fakta seperti berikut;
  1. Satu rakaman audio yang mendedahkan perbincangan tegang dalam satu Mesyuarat Pakatan Harapan pada Februari lalu membuktikan bahawa PKR (Anwar), Amanah dan DAP tidak lagi menyokong Tun Mahathir lantas dengan tegas mahukan beliau meletakkan jawatan. Hanya Bersatu dan Azmin Ali yang bersungguh-sungguh mempertahankan Tun Mahathir dan mahukan Tun meneruskan tugasnya sehingga tamat penggal.
  2. Tun Mahathir semasa sidang media pada malam harinya menyatakan rasa gembira kerana semua menyokong beliau sehingga tamat penggal ke-14.
  3. Tetapi selepas mendapat sokongan Ahli Parlimen PH pada malam itu dan ditambah dengan sokongan majoriti Anggota Parlimen Barisan Nasional dan Pas pada Ahad malamnya, keesokkan harinya, Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya pada hari Isnin. Ini mengejutkan banyak pihak terutama pimpinan Pakatan Harapan yang menyebabkan mereka berusaha mencari Tun untuk memujuknya. Lalu, mereka menyatakan sokongan TANPA SYARAT mereka kepada Tun untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri.
  4. Di Parlimen pada hari ini (18 Mei, 2020), YDP Agong telah bertitah bahawa baginda telahpun menasihatkan Tun Mahathir agar jangan meletakkan jawatannya. Malangnya Tun masih berkeras dengan keputusan beliau. YDP Agong menzahirkan rasa sedihnya dengan pendirian tegas Tun Mahathir itu.
  5. Maka apabila berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri, Tuanku bertitah ia menjadi tanggungjawab baginda sebagai YDP Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri. YDP Agong telah percaya bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke lapan.
  6. Maka, Kerajaan Perikatan Nasional ini adalah sebuah kerajaan yang dipilih melalui lunas demokrasi dan menepati prinsip Raja Berperlembagaan. Tiada mahkamah yang mampu mencabar keputusan yang telah dibuat oleh YDP Agong pada Sabtu 29 Februari, 2020.
Seandainya masih ada yang terus mempertikaikannya, individu atau kumpulan tersebut telah gagal untuk akur kepada keputusan YDP Agong dan Perlembagaan negara.